11 Sektor Perdagangan Dibuka Termasuk Kedai Gunting Rambut Dan Pakaian

Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang Perdana Menteri umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu terdekat bagi sektor perdagangan antaranya gunting rambut dan pakaian.

KEMUDAHAN SEKTOR PERDAGANGAN DAN PENGEDARAN FASA 1 PPN

Sehubungan itu, setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan setelah berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor-sektor berkepentingan, Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berkuatkuasa 16 Ogos 2021, melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1 iaitu:

  1. Kedai cuci kereta
  2. Kedai elektrik dan elektronik
  3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
  4. Kedai perabot
  5. Kedai peralatan sukan
  6. Kedai aksesori kereta
  7. Pusat pengedaran dan jualan kereta
  8. Pasar pagi dan pasar tani sahaja
  9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
  10. Kedai barang kemas
  11. Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja

Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) – terdapat SOP-SOP kesihatan tambahan yang MESTI dipatuhi. Ia termasuklah memakai sarung tangan, menghadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan fitting room. SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan.


Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap. Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.