Amalan ‘Work From Home’ wajar diteruskan – CUEPACS

Kerajaan tidak pernah membatalkan arahan bekerja daripada rumah (BDR) sebaliknya hanya memansuhkan arahan 30 peratus bekerja di pejabat untuk kumpulan pengurusan serta penyelia di beberapa sektor swasta sebelum ini. Bagi perkhidmatan awam pula, kehadiran adalah berdasarkan pekeliling atau arahan yang dikeluarkan oleh JPA.

Sehingga kini JPA tidak pernah megeluarkan arahan untuk memansuhkan BDR bahkan telah memperkasakan amalan tersebut melalui Pekeliling Perkhidmatan Mengenai Dasar Bekerja Dari Rumah yang telah dikeluarkan oleh kerajaan pada Disember tahun lalu.

CUEPACS berpendapat amalan BDR masih lagi perlu dilaksanakan serta diamalkan oleh semua majikan termasuklah sektor swasta dan awam kerana ia membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

BDR telah mula menjadi norma dalam perkhidmatan awam dan amalan tersebut masih lagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat terus beroperasi seperti biasa.

Pelaksanaan kali pertama BDR apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 memberi tempoh mencukupi untuk perkhidmatan awam membuat beberapa pengubahsuaian terhadap cara bekerja di luar pejabat.

MYTV Percuma

Apa yang penting sekarang ialah BDR ini dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19 dan kewujudan kluster baharu di persekitaran kerja.

Amalan BDR juga membolehkan produktiviti dapat dioptimumkan sebaik mungkin berbanding risiko tercetusnya kluster di tempat kerja yang boleh mengakibatkan keseluruhan operasi kerja terpaksa ditutup sepenuhnya.

CUEPACS menasihatkan majikan di sektor swasta tidak terburu-buru memulakan operasi pada kapasiti 100% walaupun kebenaran telah diberikan oleh kerajaan.

Segala pertimbangan perlu diberikan perhatian terutama daripada sudut kemampuan untuk mematuhi SOP. Sebelum ini segala SOP yang ditetapkan dilihat gagal dipatuhi sehingga mengakibatkan tercetusnya kluster ditempat kerja.

Begitu juga di sektor awam, setiap ketua jabatan perlu menguruskan operasi dan sumber manusia dengan sebaiknya.

Penggunaan tenaga yang optimum di pejabat tanpa kehadiran penuh sudah pasti tidak akan menjejaskan operasi perkhidmatan awam selain mampu mengelakkan risiko jangkitan.

Amalan BDR tidak akan menggangu sistem penyampaian perkhidmatan awam sekiranya ia disusun dengan sebaik mungkin.

CUEPACS berpendapat amalan BDR ini wajar diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada penularan Covid-19.

Implikasi pembatalan BDR ini cukup besar dan tidak dapat dijangka memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi.

Kita tidak boleh mengambil risiko walaupun dengan kehadiran vaksin kerana jumlah mereka yang menerima suntikan tersebut masih lagi rendah. Sekian, terima kasih.