“Bila Kata Anak Akak Meninggal” Kes Budak Pengsan Selepas Divaksin

“Ada yang kata anak saya tak makanlah, tak cukup tidurlah…padahal makan, tidur cukup. Sebelum pergi memang akan suruh mereka makan. Lepas tu yang akak paling kecewa bila dia kata anak akak dah meninggal,” luah Ulfah Mat Daris, 42.

Ulfah merupakan ibu kepada Muhammad Azim Hassan, 13, remaja yang didakwa pengsan selepas disuntik vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang di Melaka semalam.

Beliau berkata Muhammad Azim berasa takut sebelum disuntik, sehingga menyebabkannya gemuruh sebelum pengsan selepas vaksinasi.

“Dia (Muhammad Azim) selalu cakap ‘ibu, adik takut (ambil vaksin)’. Dia lemah semangat… pukul 11 malam dia dah tidur dan bukannya pukul 2 pagi sebagaimana yang ditularkan.

“Anak akak dah makan dua bungkus nasi lemak sebelum ke PPV. Akak terkejut orang sebar cerita yang bukan-bukan mengenai Muhammad Azim. Dia tak tanya kita, tak jumpa kita tapi sebar cerita yang bukan-bukan … macam kecewa sangatlah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Duyong di Melaka hari ini.

sumber