Bukan Polis Biasa-Biasa. Dia Berjaya Selesaikan 356 Kes Pembunuhan Sepanjang 23 Tahun Jadi Detektif

Dalam sejarah kepolisan Amerika Syarikat, nama Detektif Joe Kenda antara yang dikagumi kerana kejayaan menyelesaikan 356 kes pembunuhan sepanjang 23 tahun berkhidmat sebagai penyiasat.

Malah, hampir kebanyakan kes yang diselesaikan pula tanpa melepaskan tembakan atau bergumpal dengan penjenayah, sebaliknya menerusi kecekapan Kenda menjejak kesan sehingga pelakunya tumpas.

Kenda, 74, atau nama sebenarnya Joseph Patrick Kenda menyertai pasukan polis di Colorado Springs pada tahun 1973 merupakan lulusan Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Ohio. Pada mulanya dia bercita-cita menjadi diplomat.

Kenda bertugas sebagai detektif selama 19 tahun sebelum mengetuai jabatan itu dan terbabit menyiasat 387 kes jenayah.

Kisah jenayah yang membabitkan Kenda sebenarnya diterbitkan oleh penerbit bebas di Denver, Colorado sebelum memikat pihak Fox21 Studio di Los Angeles yang kemudian disiarkan menerusi saluran Discovery Channel.

Siri Lt Joe Kenda: Homicide Hunter berkonsepkan dokumentari drama di mana pihak produksi melakonkan semula kisah jenayah yang diceritakan oleh Kenda.

Menariknya, pada siaran ini Kenda bercerita tanpa berpandukan skrip, sebaliknya berdasarkan ingatannya dan boleh menceritakan setiap kronologi kejadian dengan tepat.

Sebanyak 144 episod siri Lt Joe Kenda: Homicide Hunter atau sembilan siri diterbitkan. Semasa awal penerbitan, Kenda memberi 30 fail kes jenayah sebelum pihak produksi memilih 10 kes yang sesuai.

Penggambaran siri ini dijalankan di Knoxville, Tennessee melibatkan para pelakon tempatan. Watak Kenda semasa muda dilakonkan oleh Carl Marino, bekas timbalan syerif di Monroe County, New York.

Siri terakhir berjudul ‘The End’ ditayangkan pada 29 Januari lalu.