Dua anjing pengesan polis terima pingat

Dua ekor anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menerima penghargaan atas kejayaan mengesan orang hilang.

Chulio dan Rocky, itu melaksanakan tugas dengan cemerlang masing-masing bagi kes di Tronoh pada Mei lalu dan Ulu Geruntum, Gopeng, Januari lalu.

Anjing jenis German Shepherd menerima pingat Jasamu Dikenang yang dikalungkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Dua ekor anjing ini antara 66 penerima pingat dan surat penghargaan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Sijil penghargaan turut diberikan kepada Ketua Seksyen K9, Sarjan V Gunalan dan pengendali Lans Koperal Tan Wei Hong (Rocky) dan Koperal Tony Matius Farang (Chulio).

Menurut Mior Faridalathrash, Rocky dan Chulio serta pengendali mereka diberi penghargaan di atas perkhidmatan cemerlang kerana membantu pasukan polis dalam operasi mengesan orang hilang.

Katanya, kedua-dua haiwan berusia lima tahun itu antara empat ekor anjing yang berkhidmat dalam Unit K9 IPK Perak.

habis