Ini Boya, bukan piring terbang makhluk asing

Objek besar terdampar di Pantai Geting pagi Isnin lalu adalah sejenis alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan alat itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air.

“Boya milik JLM terbabit ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dan hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini. Satu laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berikutan kejadian ini dan kerja pemindahan boya sudah selesai dibuat petang semalam.

“Boya itu kini ditempatkan sementara di jeti Pejabat Laut Kuala Besar,” katanya merujuk berita tular Isnin lalu mengenai penemuan objek asing itu yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk ada menganggapnya piring terbang serta dikaitkan dengan makhluk asing.