Jangan cemarkan PRN Johor

Polis mengesan dua kejadian bendera sebuah parti politik dibakar di dua lokasi berlainan di Layang-layang, Kluang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata insiden terbabit berlaku antara Jalan Puteri dengan Jalan Melati di Taman Layang-Layang, serta di Jalan Kampung Paya.

Beliau berkata, tiada suspek dikesan, setakat ini, namun semua pihak terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini diingatkan supaya mengawal tingkah laku penyokong masing-masing demi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan ketenteraman awam tidak tergugat.

“Pastikan penyokong mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen PRN Johor.

“Perbuatan membakar bendera itu termasuk dalam kesalahan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pelaku yang didapati dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang, menimbulkan kekacauan dan sebarang provokasi, mengikut undang-undang Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 24(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.