Jumpa bangkai tikus di kilang memproses kopi, teh Pulau Pinang

Kotor dan menjijikkan. Itu kesimpulan dapat dibuat susulan serbuan ke atas sebuah kilang memproses kopi dan teh, di sini oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri hari ini.

Lebih memualkan, bangkai tikus sebesar tapak tangan yang dipercayai  sejak lebih tiga hari lalu dijumpai di bahagian stor penyimpanan produk minuman itu yang siap dibungkus.

Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd. Wazir Khalid berkata, serbuan itu dijalankan bersama beberapa pegawai daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang serta Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Ini kali pertama premis ini diserbu hasil risikan yang dilakukan walaupun premis ini didapati telah beroperasi sejak 50 tahun yang lalu. Lokasinya yang agak tersorok mungkin salah satu sebab mengapa kita ‘terlepas pandang’ akan kewujudan premis ini sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Mohd. Wazir berkata, selain isu najis dan bangkai tikus, siasatan mendapati kilang berkenaan juga mengguna pakai logo halal yang meragukan untuk produk mereka.

Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana berdasarkan pemantauan, kilang tersebut tidak sepatutnya mendapat pengiktirafan untuk menggunakan logo halal terbabit.