Keluarga Malaysia ganti jenama kerajaan PN, – Zahid Hamidi

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk terus menggunakan jenama Keluarga Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, itu antara panduan utama yang dibincangkan dan dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersama Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno.

“Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan PN memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara BN (Umno, MCA, MIC dan PBRS), PN (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam kenyataan media, selepas mesyuarat MKT Umno di Kuala Lumpur sebentar tadi.