Motif PH Muncul Sebaik Sahaja PM Letak Jawatan?

Pakatan Harapan (PH) sebulat suara menolak tawaran Tan Sri Muhyddin Yassin untuk mengadakan kerjasama rentas parti. Seperti saya sebutkan dahulu, tawaran tersebut merupakan satu ujian kepada parti-parti pembangkang kerana syarat-syarat yang dikemukakan adalah termasuk agenda reformasi yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan kepada rakyat. Sekiranya mereka ikhlas untuk membawa perubahan dan berfikir untuk rakyat, ini adalah masa terbaik untuk berbuat demikian dan mereka patut menerima tawaran itu.

Malangnya, sudah terbukti bahawa agenda reformasi itu hanya sebuah naratif untuk membezakan mereka dengan Barisan Nasional. Rupa-rupanya Pakatan Harapan tiada komitmen untuk melunaskan agenda-agenda tersebut, walaupun diberi peluang tersebut ketika mereka bukan lagi kerajaan. Tan Sri Muhyddin Yassin boleh sahaja meletak jawatan seperti mana yang berlaku, tetapi tawaran itu diberikan dengan hasrat menstabilkan keadaan politik supaya usaha boleh ditumpukan seratus peratus untuk membendung wabak Covid-19.

Sebelum ini, tawaran kerjasama rentas parti ditolak oleh Pakatan Harapan kerana mendakwa Tan Sri Muhyddin Yassin telah kehilangan majoriti dan tiada kuasa untuk membuat tawaran, apa-apapun beliau seharusnya meletak jawatan dahulu mengikut perlembagaan. Sebaik sahaja Tan Sri Muhyddin Yassin meletak jawatan, motif sebenar Pakaran Harapan terus muncul. Ahli Parlimen Iskandar Puteri, YB Lim Kit Siang berkata dalam Borneo Post bahawa Malaysia sekarang memerlukan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan keadaan. DAP cepat-cepat mengemukakan calon Perdana Menteri yang boleh mereka tunggang.

Sebelum perletakan jawatan Tan Sri Muhyddin Yassin, tiada langsung Pakatan Harapan menyebut tentang perkara ini. Kini, jelas bahawa keengganan Pakatan Harapan menerima tawaran kerjasama rentas parti adalah untuk meneruskan usaha perebutan kuasa mereka, kononnya mendakwa boleh mentadbir lebih efisien daripada kerajaan yang lepas.

Perebutan kuasa hanya akan merugikan rakyat dan memudaratkan lagi situasi ekonomi sekarang, bagi kami di Parti Gerakan Rakyat Malaysia, kami tidak rugi apa-apa sebagai sebuah parti politik, kami bersuara bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk rakyat. Tindakan Pakatan Harapan adalah seperti mana yang saya jangkakan dulu, terbukti motif mereka adalah untuk cita-cita sendiri dan bukan seperti dilaungkan selalu, iaitu berjuang untuk rakyat.

WONG CHIA ZHEN
PEMANGKU KETUA PEMUDA NASIONAL
PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA