PAS Bertanding Guna Logo PN Di Melaka

Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membuat keputusan parti Islam itu akan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden PAS, Hadi Awang berkata ketetapan itu telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada Ahad lalu selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada hari ini di Pejabat Agung PAS Pusat telah meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Majlis Syura Ulama yang bersidang menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan penggunaan lambang parti bagi menghadapi PRN Melaka.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan memaklumkan ketetapan itu dibuat bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, penamaan calon pada 8 Nov manakala undi awal pada 16 Nov ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.