Pemandu Langgar 5 Pelajar Mengaku Tidak Bersalah

Pada minggu lalu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung dalam satu kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, Ipoh, Perak selepas dirempuh oleh sebuah lori treler muatan besi.

Terbaharu, pemandu lori treler terbabit, Mohamad Amirul Aznizam Razali,  berusia 28 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar petang tadi. Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Kubang Pasu, Jitra, Kedah didakwa memandu dengan cara bahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi ahmad hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara berhampiran Terowong Menora, dekat Kuala Kangsar pada pukul 1 pagi Khamis lalu.

Bagi kesemua pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga EM50,000.

sumber