Peristiwa 1 April 1960 YDPA Pertama

Hari ini 62 tahun yang lalu, Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad mangkat.

Diputerakan di Seri Menanti pada 24 Ogos 1895, baginda adalah cahaya mata ke-2 YDP Besar Negeri Sembilan moden yang pertama & YDP Besar Seri Menanti yang ke-7, Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah dengan Tunku Puan Chik.

Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Jempol seterusnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Tamat sekolah, baginda berkhidmat dengan Sekretariat Persekutuan di KL, pada masa sama menyertai Malayan Volunteer Regiment (MVI).

Pada 1921, baginda dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Seremban. Kemudian ditugaskan ke daerah Klang (1922), Hulu Selangor (1923), Sepang (1923-1925) menggalas jawatan sama sebelum khidmat singkat di Mahkamah Tinggi KL.

Pada 1925, baginda melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di Inner Temple, London selama 3 tahun sebelum lulus sebagai peguam bertauliah. Sekembali ke tanah air, baginda dilantik menjadi Pen. Pegawai Daerah Tapah hingga 1930.

Seterusnya baginda menjadi Majistret Kelas 2 di KL, sebelum ke Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai Pen. Pendaftar (1931-1932). Kemudian menjadi Pen. Pegawai Daerah di Kuala Langat & dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Daerah di Batang Padang (1933).

Baginda menjadi Tunku Muda Serting pada 1917 ekoran kemangkatan kekanda sulungnya, Tunku Abdul Aziz. Pada 2 Ogos 1933, baginda dilantik sebagai YDP Besar Seri Menanti selepas kemangkatan ayahandanya.

Apabila Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, baginda telah dilantik menjadi YDPA yang pertama atas pilihan sebulat suara Majlis Raja-Raja. Baginda ditabal pada 2 September tahun itu.

3 tahun kemudian, tidak sempat menamatkan tempoh sepenggal 5 tahun sebagai Agong, baginda menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur pada 1 April 1960 di Istana Negara. Baginda disemadikan di Makam Diraja Seri Menanti.

Tuanku Abdul Rahman diabadikan pada wang kertas Ringgit Malaysia & sebagai memperingatinya, tanjak/tengkolok gubahan ‘Dendam Tak Sudah’ yang dipakai baginda dijadikan pakaian rasmi YDPA.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Warisan Raja & Permaisuri Melayu