Pesawat China Dikesan Ceroboh Ruang Udara Malaysia

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan dan memintas 16 buah pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (KK FIR) serta cuba menghampiri ruang udara nasional dalam kejadian pada tengahari semalam.

Pergerakan 16 pesawat China berkenaan yang terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki secara formasi taktikal in-trail dengan jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain berjaya dikesan oleh Radar Pertahanan Udara milik TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2), Sarawak pada sekitar jam 11.53 pagi.

Formasi pesawat berkenaan yang terbang melalui Singapore FIR sebelum mengubah haluan memasuki ruang udara Beting Patinggi Ali, ZMM, KK FIR dan terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak.

Pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan yang diletakkan dalam keadaan siap sedia menerusi Operasi Curiga segera diterbangkan bagi membuat pintasan dan identifikasi visual setelah cubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR tidak berjaya.

Artikel berkaitan: Ulang Tahun ke-63 Regimen Askar Wataniah

Hasil pintasan udara yang dilaksanakan berjaya mengenalpasti pesawat tersebut terdiri daripada Ilyushin Il-76 dan Xian Y-20 yang merupakan Pesawat Pengangkut Strategik serta mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pelbagai misi.

ATM memandang serius terhadap insiden pencerobohan ini yang merupakan ancaman terhadap KEDAULATAN NEGARA dan KESELAMATAN PENERBANGAN kepada trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR serta bertindak berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

Sumber daripada:
Bahagian Perhubungan Awam, Markas TUDM