Punyalah Seronok Cari Orkid Hutan, Sampai Tak Jumpa Jalan Keluar

Siapa yang tak teruja untuk tanam dan jaga orkid hutan. Iyalah, berbanding orkid-orkid biasa, orkid hutan antara spesies yang unik selain mengeluarkan bunga cantik.

Untuk mencari orkid hutan ‘asli’ memang perlu keluar masuk hutan kerana lokasi adanya tumbuhan ini jarang-jarang boleh dijumpa selain nilainya yang tinggi jika dijual.

Kisah mencari orkid hutan ini bagaimana pun berakhir cemas bagi sepasang suami isteri bersama dua rakan apabila mereka sesat dan tidak dapat menemui jalan keluar.  

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam melibatkan mangsa-mangsa Melayu yang terdiri daripada lelaki 71 tahun bersama isterinya yang berusia 42 tahun dan dua rakan wanita berusia 47 dan 60 tahun.

Difahamkan, mereka memasuki kawasan kebun kelapa sawit di Batu 23, Redang Panjang dekat Batu Kurau, Perak pada petang semalam untuk mencari pokok bunga orkid sebelum sesat di Hutan Simpan Redang Panjang.

Salah-seorang daripada mangsa kemudian berjaya menghubungi pihak bomba pada pukul 7.14 malam menggunakan telefon bimbit meminta bantuan.

Kesemua mangsa berjaya ditemui kira-kira lima kilometer dari Pusat Kawalan Operasi pada pukul 12.35 tengah malam dandibawa keluar dari hutan itu dalam keadaan selamat .