Rafizi Umum Kembali Ke Gelanggang Politik

Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas lebih dua tahun berehat dengan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu akan datang.

Menurutnya, keputusan yang diambil itu berdasarkan perkembangan terbaharu dan politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

“Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

“Sumbangan saya menubuhkan PH pada tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.